KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA TANGGUH PROGRAM MEMBABITKAN ORANG RAMAI
Putrajaya, 4 Oktober 2020 – Kementerian Perpaduan Negara mengarahkan penangguhan semua program yang membabitkan perhimpunan orang ramai melibatkan jentera di bawah Kementerian berikutan kes COVID-19 yang meningkat sejak beberapa hari yang lepas.
2. YB Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengingatkan semua jentera Perpaduan termasuk 8,274 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), 5,321 Skim Rondaan Sukarela, 1,874 Tabika Perpaduan dan 41 Taska Genius Perpaduan supaya mematuhi protokol kesihatan dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta arahan Kerajaan Negeri yang berkaitan.
3. Pelaksanaan aktiviti keagamaan di lebih 10,000 rumah ibadat bukan Islam dalam Zon Hijau dan Kuning sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) juga akan dipantau dan dikemaskini oleh pihak Kementerian, tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh KKM dan MKN serta peraturan Kerajaan Negeri yang berkaitan.
4. Kementerian menasihatkan semua kakitangan, jentera perpaduan dan orang ramai supaya sentiasa patuh kepada SOP dan mengamalkan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal dan sentiasa membersihkan tangan terutamanya ketika berada di tempat awam.
Kementerian Perpaduan Negara