KENYATAAN AKHBAR MENTERI KANAN PERTAHANAN MENGENAI PELAKSANAAN PKP HARI KE-201 DAN HARI KE-117 PKPP

 


Task Force Operasi Pematuhan 

Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 39,362 pemeriksaan semalam (3 Oktober 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Sebanyak 2,175 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 9,980 anggota telah membuat pemantauan di 2,779 pasar raya, 3,499 restoran serta 1,191 penjaja, 976 kilang, 2,653 bank dan 437 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 717 terminal pengangkutan darat, 165 terminal pengangkutan air serta 155 terminal pengangkutan udara. 

Semalam (3 Oktober 2020), PDRM telah menahan 433 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 345 individu telah dikompaun, 60 direman dan 28 dijamin. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (157), aktiviti dalam pub/kelab malam (126), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (49), penjarakan fizikal (46), aktiviti perjudian (36),menggaji warga asing tanpa permit yang sah (18), serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (1).

Kawalan Sempadan Negara 

Operasi BENTENG yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi-agensi lain mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak COVID-19.

Semalam (3 Oktober 2020), Operasi Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 76 PATI dan 1 penyeludup. Daripada jumlah itu, pasukan ATM Rejimen Pertama Kor Armor Diraja berjaya menahan 27 PATI atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta cuba untuk keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di sekitar Hotel Tiara, Desaru, Bandar Penawar, Johor.

Sebanyak 101 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (79 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (12 SJR). Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus. 

Kuarantin Wajib 

Sejak 24 Julai sehingga 3 Oktober 2020, seramai 40,607 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 Hotel dan 12 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan. Daripada jumlah itu, seramai 9,138 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 31,363 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang. 

Mereka telah pulang dari 34 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat & Ethiopia.

Operasi Sanitasi Awam COVID-19 

Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 10,216 operasi sanitasi merangkumi 135 zon. Sebanyak 13,085 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,717 pusat perniagaan, 1,602 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,624 tempat awam, 354 pasar raya, dan 5,788 bangunan kerajaan.

Semalam (3 Oktober 2020), sebanyak 18 operasi sanitasi meliputi 1 zon Merah, 5 zon Kuning dan 6 zon Hijau yang melibatkan 7 buah negeri antaranya Perlis (5 operasi), Pulau Pinang (4 operasi), Sabah (2 operasi), Sarawak (2 operasi), Negeri Sembilan (1operasi), Pahang (1 operasi), Selangor (1 operasi), serta 2 buah wilayah persekutuaniaitu Putrajaya (1 operasi) dan Labuan (1 operasi).

Operasi sanitasi ini melibatkan 63 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 176 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 13 jentera JBPM turut terlibat dalam operasi sanitasi.

PKPDB di Penjara Alor Setar, Kedah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan Penjara Alor Setar Kedah.

Mengambil kira peningkatan jumlah kes yang berlaku, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan penjara termasuk kuarters kakitangan selama 14 hari berkuatkuasa mulai jam 12.01 tengah malam ini, 5 Oktober 2020.

Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

Sepanjang tempoh ini juga, sebarang pergerakan keluar dan masuk melibatkan kawasan ini termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

Barang Keperluan Asas 

Semalam (3 Oktober 2020), Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 679 premis perniagaan termasuk peruncit (469), pemborong (181) dan pengilang (29). Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,055 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,052 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 3 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

Dalam tempoh PKPP ini, Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian. 

YB DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB

MENTERI KANAN PERTAHANAN

4 Oktober 2020

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)