KES HARIAN COVID-19 YANG KEDUA TERTINGGI PERNAH DICATAT DI MALAYSIA



Untuk makluman semua, Malaysia pernah mencatatkan kes COVID-19 tertinggi pada 4 Jun 2020 iaitu sebanyak 277 kes, yang mana 270 kes adalah di kalangan bukan warganegara daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil. Dengan 260 kes positif COVID-19 dicatat pada hari ini, ianya merupakan kedua tertinggi pernah dicatatkan di Malaysia setakat ini. Ini sememangnya angka yang amat merisaukan. Bilangan kes ketiga tertinggi pula dicatat pada 26 Mac 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1, iaitu sebanyak 235 kes yang terdiri daripada penularan di dalam negara yang melibatkan

  • 27 kes import; dan
  • 208 kes penularan di dalam negara yang melibatkan 157 kes warganegara Malaysia dan 51 kes bukan warganegara.

Jika dilihat pada peningkatan kes mutakhir ini, ianya tertumpu di dua buah negeri iaitu Sabah dan Kedah. Namun kini terdapat juga kes-kes dan kluster-kluster baharu yang dikesan di negeri-negeri yang lain.

KKM mengambil maklum pengumuman hari ini oleh Menteri Kanan Pertahanan, Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah di seluruh negeri Sabah yang akan berkuatkuasa mulai jam 12:01 malam 3 Oktober 2020 sehingga 16 Oktober 2020. Pada masa yang sama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini kekal berkuatkuasa seperti biasa.

Diharapkan pendekatan yang lebih agresif ini akan membantu mengawal situasi penularan COVID-19 di negeri Sabah. Pada masa yang sama, KKM dan agensi-agensi berkaitan akan berusaha sedaya upaya bagi mengawal penularan COVID-19 di seluruh Malaysia. Kerjasama semua pihak adalah amat-amat diperlukan.

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)