PERLIS, SARAWAK DAN LABUAN BERALIH KE FASA 3 PPN RABU INI
PUTRAJAYA, - YAB Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri, hari ini telah mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin. Turut dibincangkan adalah kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.
Beliau berkata, kemudahan-kemudahan ini akan beliau umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya oleh individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi dengan mengambilkira keselamatan rakyat.
Beliau, tekankan strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar.
Pada mesyuarat petang ini juga, Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) YB Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, telah membentangkan perkembangan pelaksanaan PPN.
Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa tiga buah negeri yang menunjukkan prestasi yang amat baik akan beralih ke Fasa 3 PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa Rabu, 4 Ogos 2021.
Beliau mengingatkan agar SOP dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.
Katanya lagi, Beliau berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya. Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat.
- SMNETNEWS