KENYATAAN MEDIA MENTERI KANAN PERTAHANAN 20 JUN 2021
Pemantauan dan penguatkuasaan SOP COVID-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan dalam usaha untuk memastikan sektor perkilangan dan perniagaan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh, kerajaan telah melaksanakan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak didapati melanggar SOP yang telah diwartakan.
Sejak 1 Jun sehingga 19 Jun 2021, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 510 buah kilang dan daripada jumlah itu, sebanyak 113 buah kilang telah diarahkan tutup.
Secara kumulatifnya, sebanyak 24,942 kilang dan premis perniagaan telah diperiksa sejak 14 Januari 2021 yang melibatkan 22,819 premis perniagaan dan 2,123 kilang. Sehingga kini, 167 kilang dan 17 premis bukan kilang telah diarahkan tutup.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) secara kumulatifnya sejak 1 Jun sehingga 19 Jun 2021, telah melaksanakan sebanyak 33, 010 pemeriksaan. Manakala pada 19 Jun 2021, sebanyak 2,027 pemeriksaan pematuhan harian telah dilaksanakan dan sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan ke atas premis-premis perniagaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan.
Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 87,637 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Semalam, 852 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 821 individu dikompaun manakala 31 lagi direman.
Antara kesalahan direkodkan ialah:
Tiada penjarakan fizikal (175)
Tidak memakai pelitup muka (143)
Gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (129)
Tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (94)
Bawa penumpang berlebihan (45)
Lain-lain (266)
Operasi BENTENG (Op BENTENG) semalam telah menangkap 18 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta merampas sembilan (9) buah kenderaan darat. Sebanyak 173 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui enam (6) aktiviti penglihatan dan satu (1) orang PATI turut berjaya diusir melalui satu (1) aktiviti pengusiran.
Op BENTENG melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 957 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam iaitu:
Op PENAWAR/SJR PKP - 903 SJR
Op BENTENG PDRM/ATM/RELA - 45 SJR
Op BENTENG AKSEM - 9 SJR