KP KESIHATAN VAKSINASI PENDUDUK SEKITAR PARIT SULONG, BATU PAHAT
BATU PAHAT: - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Hisham menyertai lawatan kerja bersama YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi ke projek rintis program vaksinasi bergerak (mobile vaccination programme) di sekitar Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.
Program ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak iaitu Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Persekutuan dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor. Bantuan juga diberikan oleh Pejabat Daerah Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Yong Peng, Hospital Pakar Putra, UTM, RELA, PDRM dan lain-lain agensi.
Projek rintis program vaksinasi bergerak ini telah bermula sejak 14 Jun 2021 dan merupakan sebahagian daripada usaha IPT tempatan untuk membantu Kerajaan dalam meningkatkan liputan vaksinasi COVID-19 penduduk Malaysia di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Sehingga 26 Jun 2021, seramai 1230 orang penduduk di sekitar Parit Sulong telah divaksinasi melalui tiga kaedah penyampaian iaitu di pusat pemberian vaksin satelit di dewan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat bagi individu yang stabil, perkhidmatan outreach vaksin yang berpusat di Balai Penghulu atau Ketua Kampung di kawasan seperti Semerah dan Kampung Seri Medan serta dengan melakukan lawatan rumah ke rumah dalam kawasan Semerah dan Kampung Seri Medan bagi pesakit yang terlantar di rumah atau warga emas/OKU yang tiada kemampuan fizikal/mental untuk hadir ke PPV.
Beliau berkata satu garis panduan bagi pelaksanaan pemberian vaksin rumah ke rumah telah pun disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM bagi memastikan segala langkah diambil demi menjaga keselamatan penerima vaksin dan SOP berkaitan dipatuhi. Bagi warga emas terlantar yang kelihatan lemah, uzur dan sakit peringkat akhir (terminal illness), penilaian akan dilakukan oleh Pegawai Perubatan terlebih dahulu terhadap kesesuaian pesakit untuk menerima vaksin.
Jutaan terima kasih beliau ucapkan kepada kesemua sukarelawan terutamanya anak-anak muda Batu Pahat, pelajar-pelajar perubatan International Medical University (IMU) dan pengamal perubatan swasta yang membantu dalam program vaksinasi ini. Semoga segala usaha ini akan dapat membantu negara dalam mencapai sasaran liputan imunisasi kelompok dengan secepat mungkin. - SMNETNEWS