KAPAL TANGKI BERSAUH TANPA KEBENARAN DITAHAN

GEORGETOWN, - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang tengahari, kelmarin. 

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, penahanan kapal tangki NEW LAUREL yang berdaftar di Hong Kong itu adalah hasil maklumat pengesanan yang diterima daripada pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) semasa rondaan udara OP BENTENG LAUT di sepanjang perairan Selat Melaka.

Sebaik maklumat diterima, Kapal Maritim (KM) BURAU yang ketika itu melaksanakan rondaan OP PERTIWI diarahkan ke lokasi di kedudukan kira-kira 57 batu nautika barat daya Pulau Kendi lebih kurang jam 12.00 tengahari semalam.

Semasa pemeriksaan, nakhoda kapal tersebut enggan memberikan kerjasama, malah cuba melengah-lengahkan pemeriksaan serta melakukan provokasi ketika cuba diperiksa dan ditahan. 

Kapal tersebut dikatakan dalam perjalanan dari Terminal Fateh, Emiriah Arab Bersatu ke Singapura itu dikendalikan oleh 27 kru termasuk nakhoda. 

Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 27 kru termasuk nakhoda terdiri dari warga Korea Selatan, Filipina dan China yang kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang  sah, namun nakhoda telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia. 

Nakhoda dan dua kru kemudiannya dibawa ke ibu pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia ingin menasihatkan kepada semua pemilik kapal, nakhoda serta agen perkapalan supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan Malaysia serta memberikan kerjasama penuh jika diminta untuk diperiksa. Tindakan secara ‘force boarding’ menggunakan helikopter akan dilakukan sekiranya pihak terbabit enggan memberi kerjasama termasuk menyabitkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas. 

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

SUMBER & FOTO: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) 


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)