TIMBALAN KETUA POLIS KELANTAN MEMBUAT LAWATAN DAN TINJAUAN DI LOKASI PKPD DAERAH KOTA BHARU KELANTAN

Kota Bharu, 25 Jun 2021 - Kerajaan telah memutuskan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan bermula 25 Jun 2021 sehingga 08 Julai 2021 setelah mengesan sejumlah individu didapati positif Covid-19 hasil saringan dilokaliti berkenaan.

YDH SAC Abdullah bin Mohammad Piah, Timbalan Ketua Polis Kelantan telah membuat lawatan dan tinjauan bagi memastikan segala keperluan dan penugasan dalam mengawal keselamatan dikawasan PKPD telah diatur gerak dengan baik dibawah kawasan Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu. Sidang media telah diadakan dilokasi bagi memberi info dan maklumat terkini berkaitan hal PKPD yang telah dilaksanakan.

Tinjauan dikawasan PKPD mendapati pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan bersasar Covid-19 kepada penduduk kampung terlibat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan dengan bantuan Agensi Pasukan sahabat yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sukarelawan Malaysia (RELA) membuat kawalan keselamatan dengan menutup empat laluan keluar masuk ke Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin bagi menyekat pergerakan dan  mengawal penularan Virus Covid-19. 

PKPD dilaksanakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti yang merekodkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi hasil daripada ujian saringan yang dilakukan. Penduduk kampung diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk memastikan segala langkah pencegahan dapat dipatuhi bagi memutuskan rantaian virus Covid-19. 

Jadilah warga yang prihatin, elakkan jangkitan Covid-19. Janganlah kita menjadi punca ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai dijangkiti Covid-19.

SUMBER: Polis Kontinjen Kelantan


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)