FASA 1 PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN MENYELURUH DIKEKALKAN DALAM PELAN PEMULIHAN NEGARA
KUALA LUMPUR, - Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dikekalkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai.
Ketiga-tiga indikator nilai ambang tersebut ialah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10%.
Justeru, peralihan daripada Fasa 1 ke Fasa 2 akan mengambil kira ketiga-tiga indikator itu sebelum ia diputuskan. Secara keseluruhan, PPN adalah strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 yang merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Berdasarkan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan akan mengekalkan lagi tempoh Fasa 1 di seluruh negara seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum disahkan hari ini.
Ia mengambil kira situasi semasa ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar. - SMNETNEWS