POLIS MARIN LANGKAWI TAHAN DUA TEKONG CUBA SELUDUP EMPAT ORANG PATI

PULAU LANGKAWI - Dua lelaki warga tempatan dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke pulau ini ditahan Pasukan Polis Marin semasa berada di kawasan Laut Teluk Apau.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang, Superintendan Shoppri Bin Saad berkata, pihaknya menahan dua individu terbabit menerusi Op Benteng di lokasi berkenaan pada jam 12.30 pagi.

"Dua lelaki berusia 33 dan 35 tahun yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai tekong laut. Hasil siasatan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan empat orang PATI warganegara Myanmar ke Pulau Langkawi melalui jalan tidak diwartakan menggunakan bot nelayan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shoppri berkata, pihaknya turut merampas sebuah bot fiber berserta enjin, sejumlah wang tunai dan telefon bimbit yang semuanya dianggarkan bernilai RM 20,500.

"Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963,".

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)