SABAH LOKASI KETIGA PROGRAM VAKSINASI PANDU LALU ATM
LOK KAWI, – Menteri Kanan Pertahanan (MENHAN), YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, yang diiringi oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Mohammad bin Ab Rahman, meluangkan masa melihat pelaksanaan Program Vaksinasi Pandu Lalu Tentera Darat Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah .
Ketibaan YB MENHAN telah disambut oleh Panglima Divisyen Kelima Infantri (5 Divisyen), Mejar Jeneral Dato' Haji Mohd Halim bin Khalid sebelum beliau memberi taklimat berkenaan pelaksanaan Program Vaksinasi Pandu Lalu ini.
Berdasarkan kejayaan yang telah dicapai pada projek perintis tempohari yang dilaksanakan di Kem Perdana Sungai Besi dan seterusnya di Kem Muara Tuang, Sarawak, Kementerian Pertahanan mengambil ketetapan meneruskan program ke lokasi ketiga, iaitu di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah. Program tersebut dilaksanakan selama sehari iaitu pada 26 Jun 2021 selama tempoh 6 jam mulai jam 8.00 pagi.
4 Pegawai dan 66 petugas terlibat dalam menjayakan program tersebut yang melibatkan 636 penerima vaksin, terdiri daripada 67 anggota tentera, 439 ahli keluarga, 69 kakitangan awam KEMENTAH dan 61 orang anggota Askar Wataniah. Sepanjang pelaksanaan program, 3 saluran suntikan dan 6 stesen dibuka bagi memudahkan proses vaksinasi pandu lalu dijalankan.
Sesungguhnya, keprihatinan YB MENHAN untuk turun padang bagi meninjau pelaksanaan sesuatu program sebegini adalah sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Kelangsungan Misi dan Kesiagaan”, yang menitikberatkan tahap kesiagaan penugasan warga TDM di tahap tertinggi pada sebilang masa.
Turut hadir ke program tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Dato' (Dr) Zulkeffeli bin Mat Jusoh.
SUMBER: Tentera Darat Malaysia
SMNETNEWS