KEMPEN SIFAR COVID-19 PERINGKAT SABAH DILANCARKAN HARI INI
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini telah menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Kempen Sifar Pandemik COVID-19 Peringkat Negeri Sabah secara maya sebagai satu usaha untuk menjadikan sifar kes COVID-19 sebagai satu penanda aras untuk dicapai dengan segera.
Beliau berkata Kempen Sifar Pandemik COVID-19 ini adalah inisiatif bersama antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan penanda aras baharu bagi masyarakat di negeri ini agar mencapai angka kes sifar harian dengan kadar segera.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Setakat 19 Jun 2021, seramai 326,556 orang telah menerima suntikan vaksin dan angka ini akan dipertingkatkan lagi dalam kadar segera di negeri berkenaan.
Kerajaan Negeri Sabah juga akan berusaha untuk memastikan lebih banyak bekalan vaksin seperti Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca untuk rakyat Sabah.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Seri Panglima Hajiji berkata pada bulan Julai, jumlah vaksinasi harian akan ditingkatkan kepada kadar 30,000 berbanding 13,000 pada bulan Jun.
"Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) akan dijadikan pusat pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swatsa (PIKAS) dengan sasaran 1,500 orang pekerja dalam sektor berkenaan akan menerima suntikan vaksin mereka sehari," katanya.
Turut bersama dalam majlis berkenaan ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah YB Ir. Shahelmy Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah YB Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah YBhg Datuk Dr Christina Rundi.
SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA