PM TINJAU PPV PAGOH DAN BUKIT GAMBIR
Perdana Menteri semalam meninjau proses pemberian vaksin kepada penduduk Pagoh dan Muar yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Pagoh dan PPV Dewan Muafakat, di Bukit Gambir.
Beliau berkata, jumlah penerima vaksin harian di kedua-dua PPV yang kini sekitar 800 orang sehari di tingkatkan jumlahnya susulan penerimaan bekalan vaksin yang lebih stabil sekarang. PM dimaklumkan kekuatan petugas kesihatan dan sukarelawan bagi kedua-dua PPV adalah mencukupi untuk menerima lebih banyak janji temu sekiranya bekalan vaksin ditambah selepas ini.
Beliau yakin dengan usaha dan persediaan rapi semua PPV selain pembukaan lebih banyak PPV sama ada PPV mega di bandar, pinggir bandar, daerah, kampung-kampung sehingga kawasan pedalaman termasuk di penempatan komuniti Orang Asli mampu mempercepatkan usaha Kerajaan untuk memastikan seramai mungkin populasi di dalam negara divaksinasi.
Selain itu saranan beliau supaya semua PPV beroperasi tujuh hari seminggu dengan waktu operasi dilanjutkan bermula bulan ini juga pasti dapat membantu mempercepatkan lebih ramai rakyat diberi suntikan vaksin.
Sehubungan itu, pada program hari ini PM mengumumkan yang sukarelawan kesihatan akan menerima peningkatan kadar bayaran saguhati kepada RM100 sehari berbanding RM50 sebelum ini bagi mereka yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula bulan ini.
Bayaran saguhati yang turut diperluaskan kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan selain daripada PPV seperti di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC) ini adalah bukti keperihatinan kerajaan terhadap kebajikan mereka.
Ia juga sebagai menghargai usaha serta komitmen para sukarelawan kesihatan membantu memastikan rakyat dapat menerima suntikan vaksin dengan teratur, cepat dan selamat. - SMNETNEWS