1,553 PENDUDUK MENTARI COURT BAKAL DIBERI SUNTIKAN VAKSIN
SHAH ALAM, - Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Perentah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih dilaksanakan di Mentari Court, PJS 8, Daerah Petaling untuk hari ke-5 dan melibatkan sekitar 17 ribu penduduk.
Semenjak pelaksanaan PKPD tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan bakul makanan dan penyampaian agihan makanan dengan bantuan pelbagai agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Seramai 9,007 penduduk telah disaring oleh Pejabat Kesihatan Daerah Petaling (PKD) pada 4 Julai 2021 dan seterusnya seramai 1,553 bakal diberi suntikan vaksin untuk memastikan penularan wabak dalam komuniti di Mentari Court, PJS 8 dapat diputuskan tanpa keperluan melaksanakan PKPD sekali lagi.
Amirudin Shari berkata, tindakan saring dan vaksin ini merupakan langkah yang julung-julung kali diadakan dalam kawasan PKPD di Malaysia. Kemudahan Mobile Clinic dan COVID-19 Asessment Center (CAC) untuk penduduk juga disediakan yang merupakan inisiatif pertama sepertinya di Malaysia.
Beliau menjelaskan, mana-mana kes positif yang memerlukan rawatan lanjut akan seterusnya dihantar ke hospital.
Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah gabungan pendekatan PKPD dan vaksinasi sebegini dengan harapan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 serta-merta di dalam komuniti ini.-- SMNETNEWS