215 ORANG ASLI TERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 DI MERSING

 MERSING, - Seramai 215 orang masyarakat Orang Asli menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing, Johor.

 Program ini dijayakan melalui kerjasama di antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Covid-19 Immunisation Task Force (CITF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta beberapa agensi kerajaan yang lain.

 Program yang dilaksanakan pada hari ini merupakan salah satu daripada program outreach yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk mendekati masyarakat luar bandar bagi mendapatkan suntikan vaksin.


 Usaha ini untuk memastikan masyarakat luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam mendapatkan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara.

KPLB sentiasa berusaha untuk memberi penerangan jelas mengenai kebaikan suntikan vaksin Covid-19 terhadap masyarakat luar bandar serta membantu memudahkan urusan pengambilan vaksin melalui pelbagai kaedah dan salah satunya adalah membawa PPV Bas Bergerak MARA Liner ke kawasan yang berdekatan dengan mereka.

 Melalui usaha-usaha yang telah dilaksanakan ini, KPLB berharap agar kesemua 144,180 masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang layak divaksin dapat menerima suntikan vaksin dengan segera bagi membantu pihak kerajaan mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus rakyat Malaysia sebelum akhir tahun ini.

  KPLB juga menyeru kepada masyarakat Orang Asli untuk mendaftar pengambilan vaksin Covid-19. Pendaftaran boleh dibuat di aplikasi MySejahtera atau secara manual melalui bantuan pegawai JAKOA Daerah dan Negeri masing-masing. JAKOA sentiasa bersedia membantu masyarakat Orang Asli untuk mendaftar serta membawa masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman ke PPV untuk mengambil suntikan vaksin. - SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)