COVID-19 - KES KEMATIAN SEBELUM TIBA KE HOSPITAL (BID) DI MALAYSIA MENINGKAT
KUALA LUMPUR, - Kementerian Kesihatan Malaysia telah merekodkan sebanyak 5,327 kes kematian iaitu 0.70 peratus sejak pandemik COVID-19 melanda negara kita sehingga 2 Julai 2021.
Manakala, sebanyak 4,856 (91.2 peratus) kes kematian telah dilaporkan pada tahun 2021. Daripada jumlah kematian pada tahun 2021, sebanyak 670 (13.8 peratus) kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) dilaporkan.
Analisa CPRC Kebangsaan juga mendapati terdapat kenaikan tren kes-kes kematian BID iaitu sebanyak tujuh kali ganda dari bulan April sebanyak 35 kes dan sehingga Jun 2021 mencatatkan 246 kes.
Kebanyakan kes kematian BID ini adalah dari kumpulan umur 50 tahun sehingga 70 tahun, iaitu sebanyak 76.7 peratus dengan sekurang-kurangnya satu komorbid sebanyak 64.5 peratus.
Tiga negeri yang merekodkan kes kematian BID tertinggi pada tahun ini adalah Selangor iaitu sebanyak 181 kes (27.0 peratus), diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu sebanyak 78 kes (11.6 peratus), dan Sabah sebanyak 85 kes (12.7 peratus).
KKM menasihati orang ramai perlu cakna dalam memantau kesihatan kendiri terutamanya apabila disahkan positif dan berada dalam pemantauan di rumah.
Ahli keluarga atau rakan serumah dinasihatkan agar prihatin dan peka terhadap keadaan dan kesihatan pesakit COVID-19 dengan memanfaatkan teknologi komunikasi untuk memantau kesihatan pesakit sepanjang pemantauan kuarantin di rumah. - SMNETNEWS