IBU TUNGGAL JUAL KUIH SARA 10 ANAK

TANAH MERAH, - Dalam keadaan negara sedang dilanda pandemik COVID-19, sudah pastinya ramai yang terkesan terutamanya dari segi kewangan. Begitu jugalah kesusahan dihadapi oleh Noorhidayah binti Junoh, seorang ibu kepada 10 anak yang tinggal di Kampung Banggol Ketereh, Tanah Merah.

Keadaan hidup mereka 11 beranak tentunya amat getir dalam keadaan pandemik sebegini, apatah baru sahaja kematian si suami yang menjadi ketua keluarga pada seminggu lalu. Semoga ibu tunggal berusia 39 tahun ini kuat untuk mengharungi dugaan hidup ini.

Cerita Noorhidayah, dia kini menyara 10 orang anak hanya mengharapkan hasil pendapatan daripada membuat dan menjual kuih-muih serta sumbangan daripada orang ramai.

Katanya, itulah pekerjaan yang mampu dilakukannya buat masa ini untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga dan juga perbelanjaan pendidikan anak-anaknya.

Enam anak Noorhidayah masih belajar di sekolah harian biasa, tiga lagi berada di pusat pengajian pondok dan anak bongsunya baru berumur 2 tahun. 

Berdasarkan perkongsian hidupnya, sudah semestinya Noorhidayah memerlukan kos yang tinggi untuk meneruskan kelangsungan hidup dan juga memastikan pendidikan anak-anak tidak terabai.

Ujarnya juga, sebelum ini dia mendapat bantuan JKM sebanyak RM400 atas nama arwah suaminya, selain sumbangan daripada Imam Mukim dan juga pernah mendapat perhatian  Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato' Sri Ikmal Hisham.

Mendengar akan kesusahan hidup yang dihadapi Noorhidayah sekeluarga itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) diwakili Imam Tua Masjid Ismail Petra Tanah Merah, Al-fadhil Ustaz Wan Saifuddin bin Wan Abdul Ghani telah segera menyantuni keluarga terbabit hari ini.

Bagi bersama-sama meringankan beban keluarga ibu tunggal tersebut, MAIK telah  menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dapur dan sejumlah wang tunai.

Semoga sumbangan yang disampaikan ini dapat menghilangkan kekusutan yang hadapinya dan dalam masa sama, MAIK mengucapkan terima kasih kepada kesemua pembayar zakat serta orang ramai yang membantu menyalurkan sumbangan.



Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)