KDN LANCAR OP BANTU SALUR BANTUAN KEPADA INDIVIDU TERPUTUS BEKALAN MAKANAN
KUALA LUMPUR, - Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia melancarkan Op Bantu bagi memberikan bantuan segera kepada mana-mana individu yang terputus bekalan makanan di seluruh negara.
Dato' Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri, mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang telah menyediakan bantuan makanan bagi Op Bantu dan menyelaraskan kerjasama strategik ini di peringkat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Kementerian juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang diwakili oleh Datuk Dell Akhbar, dan pihak KK Mart yang diwakili oleh Dato’ Seri Dr. K. K. Chai yang juga merupakan Pengerusi Kelab RELA Kehormat dan Bersekutu Wilayah Persekutuan, atas sumbangan bantuan makanan bagi menjayakan pelaksanaan Op Bantu.
Beliau berkata, perlaksanaan pertama (kick-off) Op Bantu akan bermula di seluruh negara dengan melibatkan agihan sebanyak hampir 50,000 buah bakul bantuan makanan dengan segera. Di peringkat lapangan, Op Bantu akan diketuai oleh 157 Ketua Polis Daerah di seluruh negara dan melibatkan penglibatan Skuad Aman Wanita (AMANITA) di bawah PDRM serta anggota RELA di peringkat daerah masing-masing.
Skuad AMANITA ini terdiri dalam kalangan anggota dan pegawai PDRM yang beperanan memupuk kesedaran orang ramai khususnya wanita mengenai keselamatan diri serta cara melindungi kawasan kejiranan masing masing.
Sehubungan itu, semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara akan dijadikan pusat pengagihan dan penyimpanan bantuan bekalan makanan yang diberikan melalui Op Bantu.
Anggota RELA di lapangan akan ditugaskan untuk melakukan rondaan bagi mendapatkan maklumat dan bagi tujuan penyaluran bantuan kepada mana-mana individu yang memerlukan bantuan segera.
Mana-mana individu yang telah terputus bekalan makanan diminta hadir ke IPD berdekatan untuk mendapatkan bantuan segera. Bagi individu yang tidak dapat hadir ke IPD berdekatan, mereka diminta menghubungi IPD berhampiran masing-masing melalui talian rasmi IPD atau melalui talian Whatsapp khas Op Bantu yang akan diumumkan. Skuad AMANITA dan anggota RELA di lapangan akan ditugaskan untuk menyampaikan bantuan segera.Semua maklumat yang diterima oleh pihak IPD dan RELA akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tindakan lanjut dan untuk mengelakkan masalah pertindihan maklumat di peringkat pelaksanaan.
Dato' Seri Hamzah Zainudin berkata, seiring dengan cogan kata Polis Sedia Berkhidmat dan RELA Setia Berbakti, pelaksanaan Op Bantu mencerminkan keprihatinan jabatan dan agensi penguatkuasaan kerajaan dalam membantu golongan rentan yang terkesan akibat penularan COVID-19 dalam negara. - SMNETNEWS