KELUARGA TINGGAL DALAM RUMAH BULUH DAPAT PERHATIAN MAIK

BACHOK, - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) semalam menyampaikan bantuan segera wang tunai RM2,000 dan bekalan makanan kepada keluarga Siti Aminah binti Mamat, 39, bersama suaminya, Abdul Aziz bin Muhammad,50 yang tinggal di sebuah rumah buluh di Lubuk Temesu, Bachok.

Enam beranak berkenaan terpaksa tinggal di rumah buluh serba kekurangan itu sejak tiga tahun lalu disebabkan kesempitan hidup.

Rumah buluh berkenaan hanya mempunyai satu bilik kecil yang beralaskan tikar getah dan dibina di atas tanah tanpa konkrit menjadi tempat tidur anak gadisnya berusia 15 tahun. Dinding pun berlubang.


Abdul Aziz yang menjadi ketua keluarga dan hanya bergantung kepada upah RM100 mencuci ladang kelapa sawit selama lima hari atau seminggu bekerja, manakala Siti Aminah pula tidak bekerja 

Keluarga berkenaan terlalu mengidamkan rumah yang lebih selesa memandangkan mereka mempunyai  seorang anak perempuan berusia 15 tahun dan seorang lelaki berusia 20 tahun yang  tinggal bersama.

Keadaan rumahnya sangat uzur, lantai diperbuat daripada buluh dan diselang seli dengan kayu itu tidaklah begitu kukuh. Kami yang memijaknya ketika menziarahi keluarga tersebut juga terpaksa berhati-hati kerana lantainya sangat ‘lembut’ takut terjerlus.

Abdul Aziz memaklumkan yang sebelum ini dia pernah membuat permohonan untuk mendapatkan rumah baharu dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan  namun dia menganggap keluarganya masih belum mempunyai rezeki untuk memiliki rumah sendiri.

Meskipun Abdul Aziz tidak pernah memohon rumah daripada MAIK namun atas dasar  tanggungjawab pihak MAIK yang diwakili Setiausahanya, Ybrs Encik Muhamad Rasani bin Ramli hari ini turun padang menyampaikan berita gembira kepada keluarga tersebut.

Pihak MAIK mempertimbangkan untuk membina Rumah Agihan Zakat MAIK yang mempunyai empat bilik dalam jangka masa terdekat di atas tanah milik ibu Abdul Aziz berdekatan dengan rumah buluhnya itu.

Setelah menyampaikan khabar gembira itu, kami dapat melihat keceriaan mereka di sebalik pelitup muka dan mereka berulang kali mengucapkan kesyukuran kepada ALLAH SWT.

Keluarga tersebut juga turut mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat kerana dengan wang zakat itulah dapat membantu keluarganya dan juga merealisasikan impiannya untuk memiliki rumah baharu.

Sebelum ini, keluarga tersebut pernah mendapat sumbangan one-off iaitu bantuan persekolahan daripada MAIK untuk empat anaknya pada tahun 2017.

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)