MAYAT PENYELAM LEMAS SUDAH DITEMUI DI PULAU PERHENTIAN

 

PASIR PUTEH, - Maritim Malaysia Negeri Kelantan telah menerima maklumat daripada Malaysia Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan untuk mengaktifkan CARILAMAT pada jam 1.50 petang semalam berikutan aduan berkenaan seorang penyelam hilang semasa mengikuti kursus selaman berhampiran kawasan selaman Tokong Laut, Pulau Perhentian.


Bot KILAT 28 Maritim Malaysia dengan kekuatan seramai lima anggota telah diatur gerak menuju ke lokasi yang jaraknya lebih kurang 12.7 batu nautika daripada muara Tok Bali.

Sebelum ketibaan Bot Kilat 28, Polis Pulau Perhentian bersama komuniti pulau telah melakukan pencarian di lokasi terakhir mangsa dilihat.

Mayat mangsa, Mohamad Abbass bin Shabki, 22 tahun telah ditemui oleh penduduk pulau lebih kurang pada jam 2.40 petang semalam dan dibawa ke jeti Pulau Perhentian Besar.

Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan oleh KILAT 28 dan tiba pada jam 4.00 petang untuk diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Besut (IPD Besut) untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, mangsa dan empat rakan yang berasal dari Kelantan juga didapati merentas negeri tanpa kebenaran. Apabila disoal, tujuan mereka merentas negeri adalah untuk membekalkan makanan ke Pulau Perhentian. Untuk itu, pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Polis turut akan mengambil tindakan terhadap pengusaha yang terbabit.

Seramai 24 pegawai dan anggota daripada Maritim Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia dan orang awam yang terlibat dalam CARILAMAT pada hari ini.

MRSC Kuantan menamatkan SAR pada jam 4.30 petang. MRSC Kuantan dan Maritim Negeri Kelantan mengucapkan terima kasih atas penglibatan agensi kerajaan dan orang awam sepanjang SAR berlangsung.

Orang awam juga diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut. Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengn Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070 atau MRSC Kuantan di talian 09- 571 7345.

Malaysia Coast Guard


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)