OP PATUH BESAR-BESARAN BERMULA HARI INI


KUALA LUMPUR, - Penguatkuasaan Operasi Patuh secara besar-besaran akan dilaksanakan di seluruh negara bermula hari ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.


Beliau berkata, perkara itu akan dikoordinasi bersama semua agensi di 21 kementerian di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara dipatuhi.

“Jadi bagi mereka yang dibenarkan beroperasi sudah semestinya tahu apa yang saya umumkan ini, jadi bersiap sedia jika sebarang pelanggaran SOP dikenal pasti, kami akan tangkap dan kompaun maksimum akan dikenakan,” katanya pada satu sidang media semalam

Beliau berkata, bagi tujuan itu pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diarah membuat ‘snapcheck’ di kawasan tertentu dan PDRM melaksanakan sekatan jalan raya termasuk menggunakan aset sedia ada seperti helikopter dan dron, dan ia akan dilakukan serentak dalam usaha menurunkan kes COVID-19 di seluruh negara.

KDN juga akan meminta senarai sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta membuat perbandingan dengan Kementerian Kesihatan berhubung senarai kilang-kilang yang didapati mempunyai kes positif COVID-19.

“Ia juga akan dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, untuk mengenal pasti sama ada kilang yang beroperasi terbabit betul atau sebaliknya didaftarkan dalam sesuatu sektor disenaraikan,” katanya. - SMNETNEWS



Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)