PKPD LEBIH 30 MUKIM MAMPU KAWAL COVID-19 DI SELANGOR - MB

SHAH ALAM, - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) lebih separuh mukim di Selangor perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah penularan Covid-19 negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha melawan pandemik sebelum ini dilihat kurang berkesan dan perlunya tindakan baharu sebagai inisiatif memutuskan rantaian wabak.

“Selangor beralih ke PKPD. Ini tidak mengejutkan kerana langkah sebelum ini tidak seperti diinginkan. Selangor menjadi penyumbang tertinggi ketika negara merekodkan jangkitan antara 5,000 hingga 6,000 kes.

“Seperti dikatakan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, tanpa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) penuh jangkitan harian boleh mencecah 13,000 dan sistem kesihatan akan lumpuh,” katanya menerusi temu bual ekslusif bersama The Star.

Amirudin berkata sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD ini, kawalan terhadap sekatan pergerakan perlu diperketat kerana terdapat sektor dibenar beroperasi memandangkan Selangor penyumbang terbesar ekonomi negara.

“Di tempat kerja walaupun pekerja mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi langkah-langkah ditetapkan, namun risiko jangkitan tetap ada kerana bertemu di kantin, ruang solat dan laluan masuk serta keluar.

“Tambahan lagi jika tinggal di rumah bersaiz kecil seperti flat dan berkongsi beramai-ramai. Penyebaran akan terus berlaku,” katanya.

Bermula semalam hingga 16 Julai ini, kerajaan menguatkuasakan PKPD di 34 mukim dalam lapan daerah Selangor bermula Sabtu ini bagi membendung Covid-19.

SUMBER: Selangor Kini

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)