PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN PADA BULAN JUN CAPAI SASARAN

   YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mencapai sasaran 150,000 suntikan sehari pada bulan Jun. Purata suntikan dicapai pada bulan Jun adalah sebanyak 170,000 dos sehari. Sasaran bulan Julai adalah purata 300,000 suntikan sehari.

Pada bulan Mei, jumlah penerima vaksin hanya 5.9% daripada populasi penduduk Malaysia dan pada bulan Jun, jumlah telah meningkat sebanyak 200% kepada 18% populasi penduduk.

Khairy dalam sidang video berkata, 60% warga emas yang  berdaftar telah menerima suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin covid-19. Kapasiti vaksinasi akan dipertingkat lagi dan untuk perbandingan sepanjang Februari sehingga Jun, jumlah vaksin yang diterima dan telah disuntik adalah sebanyak 8 juta dos akan tetapi bagi bulan Julai sahaja, kita akan menerima 12 juta dos vaksin.

Sebanyak 1,400 PPV sedang beroperasi sekarang dan jumlahnya akan ditambah termasuk penglibatan 1,500 klinik swasta serta 120 hospital swasta yang akan turut menjadi PPV. 

 Beliau berkata lagi, Malaysia telah dan akan menerima sumbangan vaksin daripada Jepun, Amerika Syarikat dan China. Beliau menjelaskan, vaksin satu dos iaitu CanSino dijangka diterima dan akan mula digunakan pada bulan julai ini. Ini akan memudahkan vaksinasi kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Mengenai Aplikasi MySejahtera dan pusat PPV seluruh negara, ianya akan ditambahbaik dan mutu perkhidmatan di PPV akan sentiasa dipertingkatkan. - SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)