SEPAK MULA PIALA PRESIDEN, BELIA DAN MPFL 2021 TERPAKSA DIANJAKKAN

PETALING JAYA, - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa tarikh mula pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi musim 2021 kini terpaksa dianjakkan ke satu tarikh yang baharu iaitu paling awal pada September 2021.

Ia berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula pada 1 Jun lalu, masih dikekalkan penguatkuasaannya oleh kerajaan dan ditambah pula dengan pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh Perdana Menteri yang turut akan melalui beberapa fasa yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, pertandingan-pertandingan di atas dijangka hanya akan dapat dimulakan seawal September 2021 yang mana latihan pasukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan dibenarkan 30 hari sebelum sepak mula setiap pertandingan, bergantung kepada keadaan semasa jumlah kes baharu harian COVID-19 yang akan mempengaruhi peralihan fasa dalam PPN.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Stuart Ramalingam berkata, bagaimanapun aktiviti dan maklumat di atas adalah perancangan FAM buat masa ini dan ia tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa. Perkara-perkara lain yang berkaitan khususnya format, jadual, peraturan dan juga tarikh sebenar aktiviti pertandingan akan turut dikongsi dengan semua pihak.

Beliau berkata lagi, FAM pada masa yang sama juga sedang aktif berusaha dan berkomunikasi dengan semua pihak yang berkaitan bagi mendapatkan kelulusan untuk kesemua pertandingan ini dapat dijalankan secepat mungkin.

Sebagai usaha untuk mengekalkan kesinambungan menjelang sepak mula pertandingan-pertandingan di atas, FAM juga akan memperkenalkan beberapa aktiviti atau bengkel secara dalam talian (online) yang berkaitan dengan pasukan-pasukan dalam masa terdekat ini. Pemakluman lanjut mengenai aktiviti ini akan dibuat sejurus selepas semua perkara diperincikan.

- SMNETNEWS



Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)