AFC Optimis Bola Sepak Asia Akan Menjadi Tumpuan Pada 2022


 KUALA LUMPUR, - Negara anggota Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) digesa menyuburkan lagi semangat muafakat bagi memastikan momentum kebangkitan dan pemulihan industri bola sepak benua itu lebih kukuh sebagai usaha menghadapi tumpuan dunia pada 2022.

Gesaan ini disuarakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, yang menghadiri  Kongres AFC ke-31 secara maya, petang semalam.

Saranan Datuk Haji Hamidin selari dengan amanat Presiden FIFA, Gianni Infantino yang turut memuji perpaduan negara ahli gabungan AFC yang disifatkannya berjaya membawa bola sepak Asia bangkit semula kesan daripada pandemik COVID-19. 

Hadir sama secara maya ialah perwakilan FAM yang lain, iaitu Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram; Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang FAM, Saaran Nadarajah dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

“Semangat perpaduan yang Infantino sebut dalam amanatnya itu memudahkan keluarga bola sepak Asia bangkit semula daripada kesukaran ini. Apa yang beliau tekankan itu tepat kerana berkat kerjasama semua pihak, Asia sudah bangkit semula. Kita akan bangkit lebih kuat jika terus bermuafakat.

“Apa yang penting sekarang ialah untuk kita membina momentum pemulihan yang meningkat pada 2022 dan menggunakan peluang yang ada agar benua Asia terus menjadi tumpuan bola sepak dunia,” kata Datuk Haji Hamidin yang juga ahli jawatankuasa eksekutif  AFC bagi penggal 2019-2023.

Semangat kekitaan dalam kalangan negara anggota AFC adalah penting menjelang tersingkapnya tabir 2022 kerana Asia menganjurkan Piala Asia Wanita AFC dan Piala Dunia Wanita B-17 FIFA yang kedua-duanya diadakan di India serta Piala Dunia FIFA di Qatar.

“Benua Asia menjadi tumpuan dunia sepanjang 2022. Semangat kekeluargaan yang menjadi kunci kebangkitan sepanjang tempoh dua tahun yang sukar wajar dipupuk bagi memastikan 2022 sebagai tahun cemerlang buat Asia.”

Mesyuarat secara maya yang dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa itu turut meluluskan mana-mana ahli gabungan yang gagal menyertai sekurang-kurangnya dua pertandingan AFC dalam tempoh dua tahun berturut-turut sebelum Kongres AFC ke-31 2021 tidak akan digantung daripada mengundi pada Kongres kali ini. Ia mengambil kira impak cabaran COVID-19.

AFC juga bakal memperkenalkan Inisiatif Kakitangan Teknikal yang lebih tersusun, direka khusus untuk ahli gabungan dengan Strategi Tanggungjawab Sosial yang komprehensif serta Polisi Perlindungan Kanak-kanak.

Kongres juga meluluskan laporan kewangan yang diaudit untuk 2020, dan belanjawan AFC untuk 2021 dan 2022 serta pelantikan juruaudit luar AFC untuk tempoh bermula Disember 2021 hingga Disember 2024.

- SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)