MKB Memperkasa Pembangunan Ekonomi Dan Sosioekonomi Bumiputera - PM
KUALA LUMPUR, - Kerajaan berhasrat menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan dalam memastikan peniaga khususnya bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka di situ.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana peniaga bumiputera dilihat masih kurang berkemampuan mendapatkan ruang perniagaan di premis berkenaan walaupun ada di antara pusat beli-belah dimiliki GLC, disebabkan kadar sewa terlalu tinggi selain faktor persaingan.
"Kerajaan juga mengambil maklum bahawa pemilikan premis perniagaan di pusat beli belah berprestij dan lokasi tumpuan pelancongan oleh golongan bumiputera masih rendah," katanya dalam kenyataan semalam
Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) menerusi sidang video semalam bagi membincangkan usaha memperkasa dan memperkukuh pembangunan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera.
Mesyuarat turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dato’ Dr. Abdul Latiff Ahmad dan disertai Menteri-Menteri Kabinet serta tokoh-tokoh perniagaan Bumiputera.
Agenda utama mesyuarat pada kali ini adalah untuk memuktamadkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang merupakan hala tuju baharu ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera bagi tempoh sedekad yang akan datang.
Turut dibincangkan ialah isu-isu berkenaan penglibatan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar seperti 5G, Bank Digital, polisi perolehan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta isu-isu berkaitan ekuiti Bumiputera yang masih rendah.
Merujuk kepada penglibatan Bumiputera dalam perolehan Kerajaan, mesyuarat dimaklumkan bahawa syarikat Bumiputera telah memperoleh sebanyak 80% daripada nilai kontrak tahunan keseluruhan agensi kerajaan.
Pada masa yang sama, Kerajaan komited untuk memastikan GLC dan GLIC turut menyokong aspirasi penglibatan syarikat Bumiputera dalam perolehan mereka.
Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa peluang penyertaan syarikat Bumiputera terbuka luas dalam projek-projek pembangunan Sistem Rangkaian 5G oleh sebuah syarikat milik penuh Kerajaan. Syarikat
Bumiputera akan mendapat manfaat sehingga 60% daripada anggaran keseluruhan kos projek bagi tempoh 10 tahun pelaksanaannya. Sekali lagi, sistem perolehan akan diurus dengan telus dan adil supaya hanya syarikat Bumiputera yang layak atas merit akan mendapat manfaat tersebut.
Bagi menambahbaik tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan mandat dan fungsi berkaitan Bumiputera, Kerajaan akan menubuhkan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di setiap Kementerian dan Agensi Kerajaan bagi menyelaras semua inisiatif, dasar dan agenda Bumiputera seperti yang telah diputuskan di peringkat MKB.
TERAJU selaku sekretariat MKB turut membentangkan persiapan pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dijadualkan berlangsung pada 6hb Disember ini di Kuala Lumpur.
Berdasarkan prinsip kesaksamaan peluang (equitability of opportunities) dan kesaksamaan keberhasilan (equitabilityofoutcomes) TPB2030 dibangunkan TERAJU ini berlandaskan intipati dari Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), didukung oleh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.
Mesyuarat turut bersetuju supaya fungsi dan peranan TERAJU diperkasa dalam memastikan agenda Bumiputera akan terus relevan dan kompetitif dengan perkembangan ekonomi semasa
- SMNETNEWS