RM402 RIBU BANTUAN UNTUK PENTERNAK NEGERI KELANTAN
KOTA BHARU, - Seramai 2010 penternak yang mendaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 menerima sumbangan daripada kerajaan negeri berjumlah RM402,000.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail ketika berucap pada Program Bantuan Sejahtera Tani COVID-19 Tahun 2021 Bagi Penternak Negeri Kelantan di Bilik Gerakan Negeri Kota Darulnaim, semalam.
Katanya, pada fasa pertama sebelumnya, peruntukan sebanyak RM49,900 disalurkan kepada peserta Jabatan Pertanian Kelantan dan RM900,000 disalurkan kepada peserta Jabatan Perikanan Negeri Kelantan.
"Pada program kali ini, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) menjemput ADUN bagi mewakili Parlimen yang mempunyai bilangan peserta paling ramai yang mendaftar di bawah JPVNK untuk agihan bantuan di peringkat DUN.
Bantuan ini berbentuk one-off sebanyak RM200 seorang dan pelarasan akan dibuat melalui Pusat Khidmat DUN dan pihak JPVNK," katanya.
YB Tuan Mohd Saripudin turut mengesa para penternak supaya mendaftar dengan JPVNK untuk memudahkan saluran bantuan dan perkhidmatan pada masa akan datang.
Turut hadir timbalannya, YB Abdul Azziz Kadir dan Pegawai Eksekutif PKPNK, Nik Fazul Fazlee Nik Othman.