“Memperkasa Integriti & Tadbir Urus Dalam Mendepani Endemik Covid-19” Tema Hari Integriti KKM

 


PUTRAJAYA, - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan sambutan Hari Integriti peringkat kementerian yang bertemakan “Memperkasa Integriti & Tadbir Urus Dalam Mendepani Endemik Covid-19” di Dewan Serbaguna, KKM hari ini.

YBhg. Datuk Harjeet Singh A/L Hardeev Singh,Timbalan Ketua Setiausaha kementerian yang mewakili YBhg Dato' Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam ucapannya berkata Sambutan Hari Integriti dan forum hari ini, telah disertai oleh hampir 1,000 orang warga KKM daripada Ibu Pejabat, JKN, Institusi, dan juga fasiliti kesihatan. 



Lebih 100 orang hadir secara fizikal di Dewan Serbaguna, KKM manakala selebihnya iaitu hampir 900 orang hadir secara virtual melalui platform Zoom.

Sambutan Hari Integriti KKM pada tahun ini diadakan bagi mencapai tiga (3) objektif utama. Pertama, untuk menyemai nilai-nilai murni dan membudayakan amalan integriti, dalam kalangan warga KKM secara individu dan kerja berpasukan. Kedua, untuk memantapkan integriti warga KKM, melalui sistem penyampaian perkhidmatan dan tadbir urus yang baik. Manakala, objektif ketiga ialah untuk memperkukuhkan asas moral dan membudayakan integriti, sebagai amalan bagi setiap warga KKM.

Sebagai makluman, Hari Integriti peringkat Nasional disambut pada setiap 5 November sejak tahun 2005. Ia diraikan dalam usaha untuk membudayakan integriti, dan memupuk nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam dan juga masyarakat.

 Di peringkat KKM, sambutan Hari Integriti yang terakhir kita laksanakan ialah pada tahun 2018, manakala pada tahun yang berikutnya terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara kita. 

KKM juga telah melancarkan Pelan Antirasuah KKM tahun 2021–2025 pada 8 Oktober lalu. Pelan ini merupakan garis panduan antirasuah atau living document yang mencerminkan komitmen KKM dalam memerangi dan membanteras aktiviti-aktiviti rasuah, dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Turut hadir, YBhg. Dato’ Wan Ramli bin Wan Abdullah, Ketua Unit Integriti KKM, YBhg. Dato’ Mazlan Mohamad, Presiden Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Dato’ Sri Akhbar Satar, Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, YBrs. Haji Mohd Gunawan bin Che Ab Aziz, Pengarah Bahagian Dasar & Strategik Pusat Governans Integriti & Anti-Rasuah Nasional (GIACC) dan YBrs. Imam Muda Mohamad Hassan Adli Yahaya @ Yahuza.

- SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)