Persatuan Atlet Para Terima RM60 Ribu Sumbangan Kerajaan Kelantan

 KOTA BHARU, - Kerajaan Kelantan melalui Jawatankuasa Belia Sukan dan NGO memperuntukkan RM60 ribu kepada persatuan atlet untuk pembelian alatan sukan baharu sebagai persiapan latihan Atlet Para dan Sukan Malaysia (SUKMA).

Sumbangan tersebut membuktikan sokongan padu kerajaan kepada para atlet untuk menghadapi kejohanan pada tahun 2022. 


Exconya, YB Wan Roslan Wan Hamat berkata, majlis yang diadakan hari ini khas untuk Atlet Para, dalam memberi pengiktirafan dan penghargaan serta suntikan semangat sebagai persediaan atlet menghadapi kejohanan sukan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 

“Saya difahamkan hampir semua peralatan sukan untuk Atlet Para dan SUKMA sudah usang, luput tarikh dan tidak boleh digunakan lagi.

Oleh itu, Kerajaan Negeri bersetuju menyumbangkan peruntukan bagi pembelian peralatan sukan baharu untuk membolehkan Atlet Para menggunakannya dengan lebih baik”, katanya pada sidang media selepas perasmian Majlis Penyampaian Peralatan Sukan serta Sumbangan Atlet Para di Hotel Perdana Kota Bharu, hari ini. 

Sumbangan tunai turut diberikan kepada dua orang wakil Atlet Para Powerlifting, Muhammad Bukhari Shaari menerima  RM1000, manakala Mohd Saiful Riduan Yusof menerima RM3000 atas pemilihannya ke Sukan Remaja Para Asia 2021. 

Di samping itu, jurulatih, Ahmad Shahmim Mohd Kadri juga menerima RM3000 berserta kerusi roda atas kelayakannya beraksi pada kejohanan yang sama.

Terdahulu, 150 peserta termasuk atlet, jurulatih dan pengurus pasukan Para Negeri Kelantan dalam kategori badminton, ping-pong, memanah, catur, boccia, powerlifting, boling padang dan juga olahraga dirai dalam majlis tersebut. 

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO YB Zuraidin Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Hilmi Abdullah, Pengarah Jabatan Belia Sukan Negeri, Laila Nazura Nawi dan para pegawai serta Atlet Para.

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)