27 Kru Warga Asing Selamat, Insiden Bot Karam Di Perairan Johor

 


BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan operasi Carilamat pada jam 11.30 pagi berikutan insiden tiga buah bot barter trade dilaporkan mengalami kecemasan berikutan cuaca buruk di perairan Pulau Pisang pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, MRSC Johor Bahru telah menerima panggilan kecemasan pada jam 11.00 pagi daripada ejen bot barter trade terbabit yang memaklumkan tiga buah bot barter trade  telah mengalami kecemasan di laut.

Berikutan itu, tiga bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak serta merta ke lokasi bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat.

Pada jam 12.27 tengah hari, MRSC Johor Bahru menerima maklumat daripada pihak ejen kapal yang memaklumkan sebuah bot barter trade telah dijumpai dan hampir tenggelam di kedudukan 8.1 batu nautika Tanjung Laboh oleh sebuah kapal kargo yang berada berhampiran . Kesemua 10 kru  warga Indonesia dilaporkan selamat. 

Sekitar jam 12.57 tengah hari, MRSC Johor Bahru menerima pula maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan mengenai penemuan tujuh kru sebuah lagi bot barter trade oleh sebuah kapal pasir di kedudukan 7.4 batu nautika barat daya Pulau Pisang.

Manakala pada jam 3.45 petang, MRSC Johor Bahru turut menerima maklumat mengenai 10 kru sebuah lagi iaitu yang ketiga telah diselamatkan oleh sebuah bot barter trade berhampiran dan telah dibawa ke Tanjung Balai, Indonesia.

Kesemua 27 kru tiga bot barter trade itu telah berjaya diselamatkan tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Operasi Carilamat telah ditamatkan pada 3.30 petang. Maritim Malaysia menerusi MRSC Johor Bahru merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi serta komuniti yang terlibat dalam usaha ini.

- SMNETNEWS

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)