Lembaga Zakat Selangor Sumbang RM3.74 Juta Bantu 18 Hospital Urus Pesakit B40
SHAH ALAM, - Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Baginda menyerahkan mock-up cek Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia berjumlah RM3.74 juta itu kepada Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Faizal Mat Ariffin.
Sumbangan berjumlah RM3.74 juta diagihkan secara berfasa mulai Jun dengan setiap pusat perubatan menerima antara RM40,000 hingga RM300,000, kata ketua pegawai eksekutifnya.
“Bantuan dalam bentuk geran disasar kepada pesakit beragama Islam yang kurang mampu (B40) dan memerlukan kos biaya hospital terutama dalam situasi pandemik Covid-19,” kata Saipolyazan M Yusop.
Pusat perubatan yang menerima bantuan termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang; Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Sungai Buloh.
Turut hadir, Pengerusi LZS, YAM Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, YBhg. Tuan Haji Saifulyazan M. Yusop.
- SMNETNEWS