Penstabilan Tebing Sungai Kelantan Di Pasir Mas 43 Peratus Siap - Tuan Ibrahim Tuan Man

 


PASIR MAS, - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memperuntukkan kos RM45 juta bagi melaksanakan kerja-kerja membina struktur penstabilan tebing sungai menggunakan lapisan batu, pengerukan sungai, pembinaan semula flood wall, pembinaan semula rumah pam saliran dan membina sistem saliran serta jalan perhubungan. 

Dalam rangka strategi memastikan keselamatan penduduk dilindungi daripada ancaman hakisan tebing sungai,  Menteri Alam Sekitar Dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan projek yang bermula pada 4 Ogos 2021 itu sudah mencapai kemajuan purata 43 peratus berbanding 38.5 peratus mengikut jadual yang ditetapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada 3 Mei 2022.


“Benteng pasir sementara setinggi 2 meter dan sepanjang 450 meter dibina di kawasan tersebut akan bertindak segera sekiranya paras air sungai Kelantan melebihi paras bahaya iaitu setinggi 10.65 meter”, katanya ketika meninjau kemajuan Projek Pelaksanaan Segera bagi Menangani Bencana Runtuhan Tebing Sungai di Kampung Pohon Celagi, hari ini.

Tambahnya, projek yang dilaksanakan ini dapat membantu mengatasi bencana runtuhan tebing sungai serta dapat mengelak kejadian banjir di kawasan terbabit dan menjadi salah satu pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di bawah teras 3 iaitu meningkatkan kesejahteraan sosial.

- UPKN

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)