Maritim Pulau Pinang Rampas 39 Set Bubu Naga

 GEORGETOWN, - Maritim Negeri Pulau Pinang merampas 39 set bubu naga di tiga lokasi sekitar 3.4 batu nautika barat daya Pulau Aman antara jam 6.45 petang hingga 7.55 malam, semalam.


Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, rampasan ini dibuat hasil aduan awam serta rondaan rutin OP PERTIWI di perairan Pulau Pinang.

Semasa rondaan,  pasukan operasi telah melakukan pemerhatian khusus terhadap lokasi aduan dan telah menjumpai sejumlah 39 set bubu naga yang dipasang di perairan berhampiran Pulau Aman. 

Bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM 4,680.00 itu dirampas serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut. 

Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.


Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan. 

Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Foto : MARITIM MALAYSIA

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)