RAKYAT TERKESAN COVID-19 MOHON BKM DIPERMUDAHKAN
TUMPAT, - Majoriti rakyat menyifatkan pembentangan bajet 2022 baru-baru ini adalah belanjawan yang mesra rakyat.
Hasil tinjauan media Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di Pusat Gimnasium semalam, mendapati kebanyakan rakyat berpendapat mereka amat memerlukan bantuan tunai dengan syarat yang lebih longgar bagi sesuatu permohonan bantuan terutama bagi mengurangkan bebanan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Saya amat berterima kasih pada Kerajaan kerana menambah baik inisiatif bantuan kepada rakyat.
Nilai bantuan ini merupakan tertinggi berbanding sebelum ini iaitu bantuan Prihatin Rakyat (BPR) hanya memperuntukkan RM1800 sebulan.
Sebagai pemohon, saya menyambut baik jika kerajaan memudahkan urusan permohonan BKM dengan melonggarkan beberapa syarat tertentu,” kata Zulkifli Mohd Noor, 43.
Sementara itu, Kerajaan dalam pembentangan bajet 2022 lepas, telah memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menerusi Belanjawan 2022 dengan pemberian bantuan tunai RM2,000 dengan peruntukan RM8.2 bilion yang bakal memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima, membabitkan isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih selain purata pendapatan bulanan di bawah RM2,500.
Pemberian bantuan ini adalah peningkatan baharu berbanding dengan kadar di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini.
- UPKN