Penjawat Awam Diseru Berintegriti - MB Kelantan


 KOTA BHARU, - Penjawat awam diseru berintegriti dan mengamalkan sifat amanah, jujur dan tulus serta sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah dikuatkuasakan.

Menteri Besar, YAB Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob berucap merasmikan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan 2021 bertemakan "Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia" yang disiarkan secara life facebook RTV Kelantan, hari ini.

Katanya, tema tahun ini selaras dengan tema peringkat nasional berkonsepkan Keluarga Malaysia yang menekankan asas keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai sempurna dalam sesebuah institusi keluarga.

"Di Kelantan kita menitikberatkan pembangunan salsiah rakyat semua peringkat membabitkan integriti dalam usaha memupuk kesedaran dan tanggungjawab berasaskan Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan" katanya.

Beliau turut menyeru penjawat awam di peringkat negeri dan persekutuan bersama melakukan perubahan ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Dalam ucapan aluan sebelumnya, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato' Kaya Setia Nazran Muhammad mengingatkan penjawat awam lebih bertanggungjawab dan berusaha memberi pendidikan kepada orang awam memahami prosedur perkhidmatan awam yang boleh dilakukan tanpa bantuan orang tengah.

Beliau turut menyeru penjawat awam perkukuhkan azam, perteguhkan iltizam dan memantapkan ikhtiar untuk bersama menjadikan perkhidmatan awam dihormati, disegani dan diteladani.

Majlis diserikan dengan ceramah bertajuk "Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia "oleh Penasihat Pusat Govermans Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)