Kebersihan Pasar Siti Khadijah Diiktiraf

 


KOTA BHARU, - Pasar Siti Khadijah ialah penjenamaan semula bagi Pasar Besar Buluh Kubu  sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya adalah wanita.

Nama khas tersebut diberikan oleh mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 1992.

Pasar empat tingkat berbentuk segi lapan yang terletak di Jalan Buluh Kubu, Kota Bharu itu mula beroperasi pada tahun 1985 dan menjadi sangat terkenal dalam kalangan warga tempatan mahu pun pelancong luar.

Mercu tanda Kelantan yang dicat berwarna-warni amat menarik perhatian pengunjung yang gemar berurusan di ruang niaga barangan basah seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan di aras bawah.

Di tingkat satu pula, diperuntukkan kepada barangan makanan kering seperti serondeng, dodol, putu beras, sagun dan manisan. Di samping itu, beraneka lauk-pauk tradisonal Kelantan seperti ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan nasi tumpang antara makanan tersohor yang sudah merakyat ke seluruh Malaysia dapat diperolehi di pasar tersebut.

Tidak terkecuali, kuih-muih warisan seperti nekbat, akok, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, puteri mandi dan sang gupal yang lazat dan enak dijual pada harga yang amat berpatutan kerana konsep peniaga di sini ialah “buat makanan seperti nak makan sendiri, untung sikit-sikit pun jadi”.

Sementara aras dua dan tiga pula dikhaskan untuk barangan bukan makanan termasuk peralatan rumah, pertukangan tembaga dan besi serta variasi pakaian tradisonal dan moden.

Bersempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021, 105 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara menyertai empat kategori pertandingan. Bagi kategori Pasar Awam Terbersih, Pasar Besar Siti Khadijah dinobatkan  johan manakala Pasar Besar Tasek Raja, Pasir Mas pula menduduki tempat ketiga kategori Awam. 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf menerima anugerah tersebut daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican dalam majlis yang berlangsung di Putrajaya, 12 November lalu.

Tahniah kepada seluruh peniaga Pasar Siti Khadijah yang bukan sahaja mahir berniaga bahkan pandai juga menjaga kebersihan persekitaran dan syabas MPKB-BRI.

- UPKN

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)