G-SHOCK dan FAM Lancar Jam Edisi Terhad Kedua
KELANA JAYA, - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama Casio G-SHOCK hari ini telah melancarkan jam tangan edisi terhad keduanya di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Majlis berkenaan telah dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin serta kedua-dua Timbalan Presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato’ S. Sivasundaram manakala Casio pula telah diwakili oleh Pengarah Eksekutif Marco Corporation, Ong Sim Jeng dan Pengarah Urusan Casio Malaysia, Tezuka Itsuro.
Kerjasama pertama di antara G-SHOCK dan FAM iaitu jam tangan GA-2000FAM-1A9 telah dilancarkan pada 31 Mac lalu dan ia disambut baik oleh penyokong bola sepak tanah air apabila produk berkenaan laris serta habis dijual dalam masa beberapa jam sahaja pada hari pertama penjualannya pada 29 Mei lalu.
Bagi keluaran terbaharu G-SHOCK dan FAM kali ini, jam tangan GA-900FAM-1A9 ini didatangkan dengan reka bentuk G-SHOCK yang tahan lasak dan lebih bergaya, sesuai mengikut citarasa peminat Harimau Malaya selain memiliki jaluran Harimau Malaya yang ikonik, melambangkan keghairahan rakyat Malaysia dalam sokongan mereka terhadap pasukan kebangsaan.
Selain itu, keluaran edisi terhad kedua ini direka dengan sedikit kelainan apabila ia memiliki cakaran harimau sendiri berwarna jingga di bahagian utas talinya membawa makna simbolik keberanian serta keghairahan barisan pemain yang membawa nama negara di mata dunia.
Bagi merancakkan lagi kempen pembelian jam tangan edisi terhad kedua G-SHOCK x FAM ini, Casio telah melancarkan permainan secara maya yang direka khas bagi peminat Harimau Malaya mendapatkan slot pembelian jam tangan berkenaan.
SUMBER: FAM