Sempadan Malaysia Indonesia Akan Dibuka - Perdana Menteri
JAKARTA, - Pertemuan empat mata YAB Perdana Menteri Malaysia dan Bapak Presiden RRI yang terhormat, Bapak Joko Widodo di Istana Bogor telah berlangsung dalam suasana yang sangat mesra dan penuh dengan semangat persaudaraan.
Banyak persetujuan bersama yang tercapai demi kepentingan kedua-dua negara.
Antaranya, pembukaan sempadan Malaysia-Indonesia melalui perjalanan udara dari Kuala Lumpur-Jakarta serta Kuala Lumpur-Bali.
Kedua-dua pihak akan mengeluarkan SOP sebelum mengumumkan tarikh kuatkuasa pembukaan sempadan.
Juga dibincangkan tentang kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia, penglibatan usahawan Malaysia dalam pembangunan Kalimantan, peluang pelaburan oleh kedua-dua negara, isu perbatasan, isu Myanmar dan Laut China Selatan.
YAB Perdana Menteri juga berpeluang menyaksikan dua Memorandum Persefahaman (MOU) dimeterai iaitu "Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan" dan "Kerjasama dan Bantuan Bersama Dalam Perkara Kastam"
Memandangkan situasi pandemik COVID-19 bertambah baik di kedua-dua negara, YAB Perdana Menteri dan Bapak Presiden telah bersetuju supaya Malaysia dan Indonesia dapat melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara di bawah aturan Travel Corridor Arrangement (TCA) atau Vaccinated Travel Lane (VTL).
YAB Perdana Menteri berkata, semoga hubungan persaudaraan Malaysia-Indonesia terus akrab.
- SMNETNEWS