KEPULANGAN KUMPULAN TERAKHIR MALBATT 850-8 YANG DINANTI

 


SUBANG, - Kumpulan Keempat, merupakan kumpulan terakhir Malaysian Battalion (MALBATT) 850-8, selamat tiba di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, jam 5.43 petang, pada hari ini. 

Ketibaan kumpulan terakhir ini disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, yang turut diiringi oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain. Turut hadir adalah Pegawai-pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada ketiga-tiga perkhidmatan serta wakil daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).



Kumpulan terakhir ini yang diketuai oleh Komander MALBATT 850-8, Kolonel Azudin bin Hassan, terdiri daripada 62 Pegawai dan 189 Lain-Lain Pangkat (LLP) ATM, seorang Pegawai ABDB dan seorang Pegawai Awam Kewangan. 

Setelah 12 bulan berkhidmat di bawah misi United Nation Interim Force In Lebanon (UNIFIL), MALBATT 850-8 dengan rasminya telah menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada MALBATT 850-9 yang diketuai oleh Komander MALBATT 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi bin Nohuddin.

Sepanjang penugasan, MALBATT 850-8 telah mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sekaligus membuktikan keupayaan serta kemampuan ATM dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa.

Kesemua pegawai dan anggota yang kembali ke Malaysia akan menjalani pemeriksaan kesihatan serta kuarantin wajib di MALBATT Village, Port Dickson.

Penglibatan warga TDM di dalam Misi PBB sebegini adalah bertepatan dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Pengukuhan Hubungan Pertahanan”, yang menekankan kepada kerjasama pertahanan bersama tentera negara serantau mahupun antarabangsa.

SUMBER: Tentera Darat Malaysia

- SMNETNEWS


Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)