TLDM DAN TUDM UJI KEUPAYAAN MERANCANG OPERASI BERSAMA DALAM EKSESAIS ANGSA SIRI 13/2021
SUBANG, – Eksesais ANGSA (Angkasa dan Samudera) siri 13/2021 menjadi platform utama antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di dalam menambah baik prosedur dan tahap profesionalisme setiap pegawai dan anggotanya bagi melaksanakan operasi bersama. Eks ANGSA juga adalah medan terbaik untuk menilai kesiapsiagaan kedua-dua pasukan serta mempertingkatkan keserasian dalam semua aspek perancangan pertahanan sama ada udara mahupun maritim.
Pada kali ini, Eks ANGSA dilaksanakan di “Air Warfare Centre” (AWC), Pangkalan Udara Subang dengan berkonsepkan “Staff Exercise” (STAFFEX). Bermula 3 hingga 18 November 2021, Eks ANGSA siri ini akan melibatkan seramai 100 orang Pegawai dan anggota Lain-lain Pangkat yang sebahagian besarnya adalah dari perkhidmatan TLDM dan TUDM selain elemen bantuan dari Tentera Darat Malaysia (TDM).
Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM telah merasmikan Majlis Pembukaan Eks ANGSA siri 13/2021 di Auditorium AWC dengan kehadiran peserta eksesais dan pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua perkhidmatan. Dalam majlis yang sama, beliau juga telah menyaksikan simbolik perasmian eksesais menerusi pemakaian Toha (Armband) dan penyerahan “Starter Pack Exercise” oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md Ajis kepada Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brig Jen Shaiful Azuar bin Ariffin TUDM selaku “Joint Force Commander”.
Terdahulu, Panglima Armada Barat telah menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kuarter dari TUDM. Beliau yang telah disambut oleh Timbalan Ketua Staf 2 Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU), Brig Jen Dato’ Othman bin Ahmad TUDM kemudiannya dibawa ke MPOU untuk kunjungan hormat ke atas Panglima Operasi Udara.
Ekoran negara yang berada dalam endemik Covid-19, sekretariat eksesais telah melaksanakan pematuhan “Standard Operating Procedure” (SOP) yang ketat. Justeru, penganjuran eksesais edisi ini menyaksikan konsep gelembung keselamatan (safety bubble) diaplikasikan sepenuhnya bagi mengawal dan membendung penularan wabak Covid-19.
SUMBER: Angkatan Tentera Malaysia