IEIC Kampus UMK Jeli Bakal Jadi Hub Industri Makanan Herba Pantai Timur
JELI - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperuntukkan RM2.45 juta bagi pembangunan fasa pertama Kompleks Inkubator Inovasi dan Keusahawanan (IEIC) di kampus Jeli.
IEIC dijangka beroperasi pada akhir 2022 bakal menjadi hub industri untuk penjanaan pendapatan dan pakar rujuk usahawan tempatan di kawasan Pantai Timur melalui pakej servis yang ditawarkan.
Projek diketuai Ts. Dr. Maryana Mohamad Nor itu menyasarkan industri pemakanan bagi tujuan pensijilan halal, pembangunan dan pensijilan produk berasaskan herba.
Menurut Dr Maryana, projek ini adalah kesinambungan projek sedia ada iaitu Agro Based Industry Project (ABID) yang telah mendapat suntikan dana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Manakala Projek Kompleks Perusahaan Desa Jeli (JCC) pula mendapat dana Kementerian Kewangan yang menerajui bidang Keusahawanan Sosial (Social Entreprise).
"Projek ini adalah inisiatif keterajuan pengurusan universiti untuk memartabatkan usaha mewujudkan satu persekitaran industri di dalam kampus universiti (Industry@University).
Di samping mewujudkan kerjasama dua hala dengan pihak industri dalam penyelidikan dan pembangunan produk berasaskan makanan serta tumbuhan herba yang kian mendapat permintaan tinggi di pasaran dalam dan luar negara", katanya.