BAJET 2022: PELUANG KELANTAN LEBIH MAJU DALAM BIDANG SUKAN
KOTA BHARU, - Bajet 2022 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan peruntukan RM159 juta untuk pembangunan sukan di seluruh negara termasuk pembinaan Stadium di Bukit Merbau Pasir Puteh diharap dapat memajukan lagi bidang sukan di negeri ini.
Demikian menurut Pengarah Belia, Sukan dan NGO (U-BeS), Nasruddin Mahmud Muhaidin ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.
Katanya, pembinaan stadium tersebut yang dikenali Madinatul Riadah antaranya membabitkan gelanggang hoki, lapang sasar dan pusat akuatik untuk persediaan Kelantan sebagai tuan rumah SUKMA 2026.
"Selama 31 tahun Kelantan terpinggir daripada mendapat kemudahan infra sukan sedangkan negeri-negeri lain setiap tahun mendapat hak untuk membina kompleks sukan. Sedangkan selama tempoh itu Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang sebaliknya sentiasa menyokong sebarang aktiviti sukan diadakan di Kelantan," katanya.
Berhubung dengan penganjuran SUKMA 2026, beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kerana sejak SUKMA dianjurkan bermula tahun 1985, ini pertama kali Kelantan dipilih menjadi tuan rumah.
UPKN