Menteri Kesihatan Lawat Kelantan, Rasmi Klinik Kesihatan Penambang
KOTA BHARU, - Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin telah menghadiri Majlis Penyerahan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Penambang, Kota Bharu, Kelantan dan Klinik Kesihatan (Jenis 7) Bahagia, Kuala Krai di Kota Bharu, Kelantan.
Kehadiran YB Menteri Kesihatan disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, YB. Dr. Haji Izani Husin.
YB Khairy hadir dalam lawatan kerja sehari ke negeri Kelantan pada hari bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg. Dato' Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 Penambang dengan kos sebanyak RM 24,874,609.20 bermula 11 Disember 2017 dan siap pada 28 April 2021. Bangunan baru Klinik Kesihatan Jenis 3 mempunyai perkhidmatan merangkumi Pesakit Luar, Kesihatan Ibu dan Anak, Kecemasan, Pergigian, Pentadbiran dan Pengurusan. Unit sokongan pula meliputi Unit Makmal, Unit Farmasi, Unit Penulian Cara Kerja, Unit Pemulihan Anggota, Unit Perkhidmatan X-Ray dan Unit BAKAS.
Manakala pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 7) Bahagia, Kuala Krai pula dilaksanakan bermula 22 Januari 2019 dan telah siap sepenuhnya pada 11 Ogos 2021. Projek ini menelan belanja sebanyak RM 5,000,000.00. Bangunan baru Klinik Kesihatan ini merangkumi Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Klinik Pesakit Luar, Rawatan Kecemasan, Makmal Perubatan Asas, Farmasi, Pentadbiran, Kemudahan Awam, Blok Sokongan, Kuaters 4 Unit Kelas G dan parkir kenderaan.
Antara objektif utama pembinaan klinik kesihatan ini adalah untuk menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan kepada masyarakat dengan lebih kondusif dan efisien. Diharap dengan pembinaan dua klinik kesihatan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat sekitar dan mempertingkatkan taraf kesihatan masyarakat yang lebih baik.
Khairy Jamaluddin berkata, "Dengan adanya Klinik Kesihatan yang baru ini (Klinik Kesihatan Penambang, Kota Bharu), perjawatan telahpun ditambah seramai 53 orang menjadi jumlah keseluruhan kakitangan Klinik Kesihatan ini seramai 87 orang. Manakala bagi Klinik Kesihatan Bahagia, Kuala Krai yang dulu merupakan Klinik Desa, perjawatan asal hanya dua orang sahaja yang bertugas, ditambah seramai 17 kakitangan menjadikan jumlah keseluruhan kakitangan adalah seramai 19 orang".
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Bangunan), YBhg. Dato' Ir Haji Habbali Ibrahim, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, YBhg. Dato Dr. Zaini Hussin, pegawai-pegawai dari JKR dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.