20 ASNAF TERIMA BANTUAN D'RAJA
JELI - Seramai 20 orang asnaf menerima bantuan D'Raja berupa wang tunai dan bakul makanan sempena keberangkatan YTM Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni almarhum Sultan Ismail Petra dan YBhg Che Puan Sofie Louise Johansson ke jajahan Jeli.
Majlis pengurniaan disempurnakan oleh baginda di kediaman rasmi ketua jajahan Jeli.
Seorang penerima bantuan, Rabia'h Md Yunus, 58 dari kampung Gunung Reng menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan junjung kasih kepada baginda di atas pengurniaan tersebut. Beliau juga mendoakan agar baginda sentiasa dalam keadaan sihat walafiat.
"Alhamdulillah saya rasa bersyukur sangat-sangat di atas pengurniaan bantuan ini dan junjung kasih kepada tuanku , saya harap tuanku sentiasa dalam keadaan sihat walafiat", katanya ketika ditemui.
Selepas majlis pengurniaan bantuan, baginda berdua berangkat ke tapak Asher Pelupusan Sampah Majlis Daerah Jeli dan ke Tapak Transit gajah Jeli seterusnya ke Rumah Kebajikan Kucing Jeli.
Hadir sama, Speaker DUN Kelantan YB Dato' Haji Abdullah Ya'kub dan isteri, ADUN Kuala Balah YB Dato' Abdul Aziz Derashid, Timbalan Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Haji Zulkifle Ab Rahman dan Ketua Jajahan Jeli Nik Raisnan Haji Daud.