ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA: PSSS dan MyDaftar OKU
Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan MyDaftar OKU adalah dua lagi Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari bagi KPWKM. Kedua-dua inisiatif KPWKM ini di bawah tanggungjawab Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Penyerahan kunci premis kekal PSSS pertama di Kompleks Perumahan Kastam Rantau Panjang, Kelantan telah dilakukan pada 26 September 2021 lalu oleh Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan kepada KPWKM. Selepas Kelantan, dua buah premis PSSS akan ditubuhkan di Selangor dan Johor. PSSS juga akan diperluaskan ke zon Utara, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, perkhidmatan PSSS bergerak juga diwujudkan bagi memperluas sasaran perkhidmatan psikososial kepada tempat berkepadatan tinggi.
YKN, agensi di bawah KPWKM bertanggungjawab ke atas perkhidmatan PSSS dan akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik.
MyDaftar OKU pula baru dirasmikan pelancarannya pada 27 Oktober 2021. Dengan penambahbaikan Sistem Maklumat OKU (SMOKU) yang selama ini hanya boleh diakses secara manual oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kumpulan sasar KPWKM kini boleh mendaftar secara dalam talian.
MyDaftar OKU bermula pada bulan Oktober tahun ini. Apabila pendaftaran mereka diluluskan, pemohon akan diberikan Kad OKU Digital melalui kod QR dalam tempat 24 jam. Fokus MyDaftar OKU adalah individu OKU yang belum berdaftar sahaja. OKU yang sudah berdaftar dengan JKM sebelum ini tidak perlu mendaftar semula kerana keahlian mereka akan diintergrasikan ke dalam system MyDaftar OKU secara berperingkat.
- SMNETNEWS