ENAM ANTOLOGI TERBITAN GEMA RANCAKKAN SASTERA KELANTAN
KOTA BHARU, – Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan YB Mejar ( B ) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berfalsafah, sastera mampu membahagiakan jiwa kerana gemerlapan karya penulis umpama bintang-bintang di langit.
Beliau berkata demikian atas keaktifan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) menerbitkan enam antologi; Travelog Mengutip Makna Alam, Antologi Puisi Suara Jiwa Buat Palestin, Antologi Cerpen Tasbih Tujuh Butir, Antologi Anekdot Senyuman Momen Indah Sepanjang Jalan, Antologi Puisi Wajah di Kanvas, dan Antologi Puisi Kasih Hingga ke Syurga sepanjang tahun 2021.
“Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) dengan kerjasama persatuan sastera dan budaya di Kelantan merancang untuk menganjurkan Hari Sastera Negeri Kelantan pada tahun hadapan yang menyasarkan penyertaan para pelajar sekolah, siswa/siswi institusi pengajian tinggi (IPT) dan umum dalam menyegarkan usaha-usaha menyemarakkan kegiatan sastera dan budaya di negeri “lubuk sastera” ini’, katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah, Sayembara Penulisan Kreatif negeri Kelantan 2021 dan Pelancaran Antologi terbitan GEMA di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Sabtu lalu.
Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Sayembara Penulisan Kreatif Negeri Kelantan 2021.
Genre cerpen dimenangi Nor Anita Salleh dengan karya “Tasbih Tujuh Butir”. Naib Johan pula disandang Nik Zainun Nik Abu Bakar melalui cerpen “Menunggu Tuah”. Manakala cerpen berjudul “Pada Kesempatan Kali Ini” karya Wan Fatimah Sofea selesa di tempat ketiga.
Bagi kategori puisi, Umi Solehah menjuarainya melalui “Beta Puteri Dikhianati Arjunanya”, disusuli Ruzilawati Man dengan “Mawar Hilang Duri” dan “Pohon Sastera di Taman Tamadun Bangsa” karya Anuar Salleh.
Pemenang menerima wang tunai dan sijil penghargaan.