Malaysia Destinasi Rawatan Hepatitis C insigHT2021
KUALA LUMPUR, – insigHT2021, persidangan pelancongan perubatan terkemuka rantau ini, menampilkan pelancaran Malaysia sebagai Hab Rawatan Hepatitis C Asia oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin. Sebagai negara pertama di dunia yang diberi kelulusan bersyarat untuk Ravidasvir secara kombinasi dengan Sofosbuvir bagi merawat Hepatitis C, Malaysia bersedia untuk menawarkan akses kepada penyelesaian rawatan yang berkesan dan mampu dibayar bagi mereka yang dijangkiti virus tersebut.
“Sebagai respons kepada tema Hari Hepatitis Dunia 2021, “Hepatitis Can’t Wait”, Malaysia kini bersedia dan sangat teruja untuk melangkah ke hadapan bagi memberikan penyelesaian rawatan kepada mereka yang dijangkiti penyakit tersebut. Ini sejajar dengan misi WHO untuk mengurangkan penularan jangkitan virus hepatitis baharu sebanyak 90% dan mengurangkan kematian disebabkan virus hepatitis sebanyak 65% menjelang tahun 2030. Malaysia menawarkan rawatan kepada pesakit Hepatitis C dengan kadar kesembuhan sebanyak 97% dan pengurangan kos sebanyak 95%,” jelas Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin pada majlis perasmian insigHT2021.
Mengulas penawaran rawatan baharu ini, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, "Melalui kepakaran kami dalam bekalan, logistik dan pengedaran Ubat Hepatitis-C kepada Hospital Ahli MHTC, kami berasa bangga dapat memberikan sumbangan kepada matlamat bersama Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Dunia untuk menghapuskan Hepatitis-C menjelang tahun 2030.
Dalam mewujudkan akses kepada rawatan bagi pesakit tempatan dan antarabangsa yang memerlukan, kami berkongsi wawasan Memperteguh Daya Tahan, sekali gus menggerakkan lagi industri pelancongan perubatan ke hadapan.” insigHT2021 diadakan secara maya dari 16 hingga 18 November dan diterajui oleh Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (Malaysia Healthcare Travel Council, MHTC), iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan yang diberi mandat untuk mempermudah dan mempromosikan industri pelancongan kesihatan di Malaysia.
Menampilkan tema ‘Memperteguh Daya Tahan’, persidangan ini mengemukakan pandangan terhadap strategi pemulihan pascapandemik dan peluang bagi daya tahan industri dengan topik seperti pengimejan semula sistem kesihatan, masa depan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, serta membina semula hospitaliti yang disampaikan oleh pakar industri tempatan dan antarabangsa yang terkenal. “insigHT telah memainkan peranan yang penting sebagai sebuah platform untuk mencipta hasil yang ketara dan bernilai, yang akan memberikan manfaat kepada peserta industri dan pelancong kesihatan. Setelah melalui keperitan pandemik, usaha untuk mengoptimumkan platform seperti ini menjadi semakin penting pada hari ini untuk mencergaskan semula industri kita”, kata Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Mohd Daud Mohd Arif.
Turut hadir, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Di JPM (Ekonomi), YB Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan 1, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan YBhg Datuk Dr. Kuljit Singh Presiden, Persatuan Hospital Swasta Malaysia.
- SMNETNEWS